Assalamualaikum wbt....sangat2 tertarik dengan status abg Sham Kamikaze pada hari ni.buat hati nurani ni tersentuh..sebak dan terasa nak berdiri depan cermin..nak x-ray hati..di manakah tahap nafsu ku??Takut sangat kesilapan dan kealpaan ni..menjurangkan aku dengan sang Pencipta yg Esa....
1) Nafsu Ammarah
Peringkat nafsu ini merupakan peringkat nafsu yang paling hina dan jahat. Nafsu Ammarah tidak menyuruh sesuatu pun pada diri kita kecuali kepada kejahatan. Orang yang berada di tahap nafsu ini telah dikuasai oleh hawa nafsunya. Apabila nasfu menguasai, maka segala perbuatan dan perkataannya sentiasa terdorong kepada kejahatan dan kederhakaan kepada Allah. Allah menyatakan kejelekan nafsu ini dengan
Firman-Nya: Sesungguhnya nafsu itu sangat mengajak kepada kejahatan.(Yusuf:53).
Sekiranya kita berada di tahap nafsu ini maka celakalah kita. Sebabnya kita tidak akan terlepas daripada seksaan api Nereka Allah. Ini adalah kerana tiada kebaikan pada diri kita. Nafsu diperingkat ini memiliki hati yang penuh dengan sifat-sifat mazmumah Seperti sombong, dengki, mengumpat, mengadu domba, dendam, menghina, riak, ujud, sum’ah, pemarah, pemalas, kuat tidur, kuat makan, malas beribadah, suka kepada kesoronokan dan sebagainya. Mereka telah menjadi hamba nafsu bukannya menjadi hamba Allah.
2) Nafsu Lawwamah
Peringkat nafsu ini lebih baik sedikit daripada nafsu Ammarah. Peringkat nafsu ini, telah pun menyedari keburukan sifat-sifat yang bersarang dihatinya. Telah berusaha bermujahadah menentang segala sifat buruk itu. Mereka telah memiliki ‘iman ilmu’ dengan cara mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu yang berkaitan Islam. Ini tidak juga menjamin mereka beramal dengan apa yang mereka ketahui. Kadang-kadang kejahatan ulama-ulama dan dosa yang mereka lakukan melebihi kejahatan yang dilakukan oleh orang jahil. Mereka yang bernafsu lawwamah telah pun melakukan mujahadah menentang sifat-sifat buruk itu, tetapi sering tewas oleh bujukan hawa nafsunya sendiri. Bila menyedari kesilapan, mereka menyesali atas kejahatannya, tetapi mengulanginya kembali disebabkan desakan nafsunya melebihi keimanannya. Peringkat nafsu ini boleh berlaku kepada mereka yang sudah bergelar ustaz, ustazah, kadhi, mufti, ulama, tok guru dan professor. Ilmu yang banyak tidak dapat menjamin keselamatan dan terpelihara daripada pujukan nafsunya sendiri. Setiap ilmu yang ada hendaklah diamalkan dengan bersungguh-sungguh dan berterusan (istiqamah) disamping berusaha dengan tekun melawan kehendak nafsu yang hina. Dengan cara inilah nafsu jahat kita akan berubah sedikit demi sedikit menaiki tangga nafsu yang lebih baik dari sebelumnya. Tanpa perubahan yang dilakukan , mereka masih tercela dan dimurkai Allah, kerana orang yang bernafsu lawwamah masih tidak selamat dari Neraka Allah.
3) Nafsu Mulhamah
Latihan yang sistematik dan istiqamah dalam mengikis sifat-sifat kesyaitanan dan kebinatangan (sifat mazmumah) akan menyucikan hati kita. Hati ibarat sebagai satu bekas, mestilah kosong dari sifat-sifat mazmumah (tercela), supaya hati itu dapat pula diisi dengan sifat-sifat mahmudah (terpuji). Jiwa yang bernafsu Mulhamah adalah jiwa yang mula menampakkan keelokan pada jiwa itu. Orang yang bernafsu Mulhamah mula mendapat ilmu-ilmu terus dari Allah yang disebut ‘Ilham’ atau ‘Laduni’.
Firman Allah swt : Demi nafsu (manusia) dan yang menjadikan (Allah) lalu diilhamkan kepadanya mana yang buruk dan mana yang baik. Sesungguhnya dapat kemenanganlah orang yang menyucikan (nafsunya) dan rugilah orang yang mengotorkannya. (As-Syam: 7-10)
Tahap nafsu ini merupakan tahap pertama dalam memasuki sempadan kewalian. Oleh kerana itu kita seharusnya berada paling minimanya di tahap nafsu ini. Walau bagaimana pun kita janganlah terus berada diperingkat nafsu ini, kerana orang yang berada diperingkat nafsu ini belum lagi mantap. Jiwa perlu digilap dan ditingkatkan lagi agar ia dapat mendaki nafsu yang lebih tinggi.
4) Nafsu Mutma’innah
Sekiranya kita berada diperingkat nafsu ini, barulah kita akan terselamat dari seksaan Neraka. Ini dinyatakan sendiri oleh Allah swt, "Wahai jiwa yang tenang (nafsu mutma’innah) kembalilah kepada Tuhan-Mu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam Syurga-Ku. (Al-Fajr:27-30).
Merupakan peringkat permulaan untuk menuju kepada Allah. Tetapi awas kita akan jatuh juga di dalam tipuan-tipuan yang tersangat halus, sekiranya kita tidak berhati-hati. Di antara penipuan-penipuan itu ialah seperti syirik khafi (syirik yang tersembunyi), cintakan kedudukan dan pangkat. Orang yang bernafsu mutma’innah ini dari segi zahirnya nampak cantik iaitu bersifat yang mulia lagi terpuji seperti pemurah, lemah-lembut, bertawakal, zuhud, warak, syukur, sabar, redha. Tersingkap kepada mereka akan rahsia-rahsia ketuhanan, bahkan telah terjadi kepadanya perkara-perkara pelik dan sebahagian dari keramat-keramat. Ia merasakan dirinya telah dinaikkan maqam Iman Al A’zam (Iman Besar). Inilah sebahagian daripada penipuan-penipuan yang perlu kita berhati-hati.